Kelas Individu atau Berkumpulan? Mana lebih baik?

بسم الله الرحن الرحيم

Assalamu’alaikum.

Susah untuk kita tentukan secara muktamad mana yang lebih baik, kelas individu atau kelas berkumpulan. Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing.

Namun jika dilihat dari sudut kos, kelas berkumpulan lebih kos efektif. Kita akan buat perbandingan kos antara kedua-dua jenis kelas tersebut, nanti.

Definisi

Kelas individu (atau juga dikenali sebagai personal, one-to-one, persendirian, dan lain lagi) adalah dimana seorang guru mengajar seorang pelajar. 

Manakala kelas berkumpulan pula adalah kelas yang mengandungi lebih daripada seorang pelajar dan diajar oleh seorang guru.

Perkara utama yang menentukan kos menjalankan kelas adalah elaun guru. Jumlah elaun guru pula dikira mengikut jumlah jam yang diajar.

Oleh itu, perbandingan kos yang boleh dibuat adalah berdasarkan jumlah jam pengajaran yang diperlukan untuk menjalankan kelas secara individu dan berkumpulan. 

Sebagai contoh, kita akan buat kira-kira kos untuk menjalankan kelas bagi lima (5) orang pelajar, dengan kadar elaun guru sebanyak RM20 sejam.

Berbezaan tempoh yang diperlukan untuk mengajar lima orang pelajar adalah seperti berikut:

IndividuBerkumpulan
Jumlah Masa5 jam1 jam
Elaun (jam x kadar elaun)RM100RM20

Kita dapati perbezaan yang ketara bukan sahaja pada jumlah elaun guru, tetapi pada jumlah jam yang diperlukan.

Dalam tempoh 5 jam, seorang guru dapat mengajar hanya SEORANG pelajar, manakala jika guru tersebut mengajar kelas tersebut secara berkumpulan, beliau dapat mengajar seramai 25 orang.

Kekangan utama dalam mengembangkan lagi kelas tersebut adalah pada MASA, kerana jumlah jam yang ada dalam sehari terhad.

Kelebihan Kelas Berkumpulan

Selain daripada keberkesanan kos dan masa, kelas berkumpulan dapat:

  • Membina disiplin pelajar (dan ibu bapa) daripada membatalkan kelas secara suka-suka.
  • Menggalakkan perbincangan dan perkongsian di kalangan pelajar.
  • Lebih ramai pelajar mendapat manfaat daripada pengajaran yang sama.

Kelemahan Kelas Berkumpulan

Namun bukan semua kelas sesuai dijalankan secara berkumpulan. Antara kelemahan menjalankan kelas secara berkumpulan adalah:

  • Bukan semua subjek dan kaedah pengajaran sesuai dijalankan secara berkumpulan.
  • Tahap dan kadar pemahaman setiap pelajar adalah berbeza. Akan ada pelajar yang ketinggalan, dan ada juga yang kebosanan.
  • Pelajar yang sering tidak hadir ke kelas akan ketinggalan dalam pembelajaran, dan adalah lebih cenderung untuk berhenti.
  • Jika bilangan pelajar terlalu ramai, tumpuan yang secukupnya tidak dapat diberikan kepada pelajar yang memerlukannya.

Cabaran Kelas Berkumpulan

Kelas berkumpulan lebih kos efektif, tetapi sukar untuk mendapatkan sekumpulan pelajar berasingan yang tidak kenal sesama sendri, secara online. Lebih mudah untuk mencari pelajar berkumpulan di kalangan kawan-kawan atau ahli keluarga.

Lebih mudah untuk mencari pelajar berkumpulan di kalangan kawan-kawan atau ahli keluarga.

Pembelajaran berkumpulan sesama kenalan lebih santai dan meriah. Mereka akan membetulkan bacaan sesama sendiri di luar kelas, waktu kelas lebih untuk mereka merapatkan ukhuwwah.

Cadangan

Berikut adalah beberapa cadangan untuk membantu anda jalankan kelas secara berkumpulan dengan lebih berkesan:

  1. Kenal pasti subjek dan kaedah pengajaran yang sesuai dibuat secara berkumpulan.
  2. Kenal pasti bilangan pelajar yang optima untuk sesebuah kelas. Pastikan tidak terlalu ramai.
  3. Pastikan semua pelajar dalam sesebuah kelas ada pada tahap yang hampir sama.

Kesimpulan

Jadi menjawab pertanyaan: mana yang lebih baik? Kedua-dua jenis kelas ada kelebihan dan kelemahan masing-masing. Bukan semua kelas patut dijalankan secara berkumpulan. Yang penting adalah memilih yang terbaik untuk pelajar anda.

Saya harap pemahaman saya (yang sedikit) tentang perkara ini membantu anda menguruskan kelas anda dengan lebih baik. In sya Allah.

Terima kasih 😊

Published
Categorized as tips

Leave a Reply