Persaingan adalah lumrah dalam bisnes. Kewujudan pesaing membuktikan adanya permintaan untuk servis anda.
Persaingan yang sihat juga boleh menggalakkan anda untuk sentiasa menambah baik servis.
Banyak yang anda boleh belajar daripada pesaing anda, antaranya dalam menentukan yuran pelajar. Anda boleh menjadikan yuran pesaing anda sebagai rujukan untuk menentukan yuran anda sendiri.
Berikut adalah beberapa langkah yang boleh anda ambil untuk menetapkan yuran berasaskan pesaing.
Langkah 1: Kenal pasti ICP (Ideal Customer Profile atau pelanggan ideal)

Langkah ini sangat penting kerana kadar yuran yang boleh anda tetapkan bergantung kepada ICP anda. Ada yang sanggup bayar yuran yang tinggi dan ada pula yang sangat sensitif kepada harga.
Langkah 2: Senaraikan pusat pengajian lain yang mempunyai ICP yang sama

Buat carian di internet atau pusat pengajian yang berada berdekatan anda. Sebaiknya cari pusat pengajian yang sudah lama beroperasi.
Langkah 3: Kira purata yuran kesemua pusat pengajian yang telah anda kenal pasti

Tentukan sama ada anda ingin bersaing dengan meletakkan yuran yang:
- Sama – Ini adalah kaedah yang paling selamat. Namun sukar untuk anda bersaing terutama sekali jika anda masih baharu.
- Lebih tinggi – Anda perlu menawarkan servis yang premium atau yang jauh berbeza.
- Lebih rendah – kaedah ini sesuai jika anda masih baharu. Letakkan harga yang rendah untuk menarik minat pelanggan.
Langkah 4: Tetapkan yuran dan perhatikan reaksi dan penerimaan pelanggan

Eksperimen dengan yuran tersebut untuk pelajar baharu atau sekelompok pelajar lama. Kemudian perhatikan penerimaan mereka. Adakah mereka senang dengan yuran baharu atau mereka rasakan terlalu tinggi.
Ingat: cara anda sampaikan perubahan harga tersebut juga salah satu faktor yang boleh mempengaruhi penerimaan pelanggan.
Langkah 5: Ulang

Ubah suai yuran berdasarkan pemerhatian anda terhadap penerimaan pelanggan kemudian ulang lagi langkah-langkah ini setiap 6-12 bulan.
Kesimpulan
Anda perlu peka dengan perubahan pasaran. Namun jangan terlalu taksub dengan pesaing anda sehingga anda mula tiru mereka bulat-bulat. Entah-entah mereka pun tengah bereskperimen.
Banyak lagi yang boleh anda pelajari daripada pesaing anda seperti:
- Adakah mereka menawarkan tempoh percubaan percuma?
- Apakah tempoh untuk yuran? Setiap sesi, bulan, sekali sahaja?
- Apakah pakej-pakej yang ditawarkan dan apa beza setiap pakej?
- Adakah struktur yuran mereka mudah difahami?
Anda boleh cuba tambah baik aspek-aspek yuran mereka yang anda rasa kurang baik.
Contohnya, struktur yuran pesaing anda terlalu rumit sehingga menyukarkan pelanggan untuk membuat pilihan. Anda boleh tawarkan struktur yuran yang lebih mudah. Saya ada juga kongsikan empat sebab anda perlu sediakan struktur yuran yang mudah.
Penetapan yuran berasaskan pesaing (Competitor-based Pricing) hanyalah satu strategi yang anda boleh gunakan untuk menetapkan yuran. Saya kongsikan dua strategi lain yang boleh membantu anda fikirkan tentang yuran untuk pusat pengajian anda.