“Kenapa nak langgan perisian? Baik kita bangunkan sendiri. Sekurang-kurangnya perisian tu kita punya bila dah siap.”
Soalan ini sama macam: “buat apa bayar sewa, baik aku beli je rumah”.
Semestinya jawapannya berbeza untuk setiap situasi.
Tapi dalam video ini saya nak buat perbandingan antara melanggan perisian macam Mudeer dengan membina perisian sendiri secara outsource. Kita akan tengok dari sudut kos dan masa.
Pengiraan Kos
Kata la kita ada 1,000 orang pelajar aktif dan caj Mudeer bagi setiap pelajar adalah RM2.
RM2 x 1,000 = RM2,000
Jadi kos bulanan adalah RM2,000.
Kita jumpa agensi pembangunan perisian yang sangat optimistik dan menganggarkan bahawa pembangunan perisian tersebut boleh disiapkan dalam tempoh enam bulan. Bagi memastikan perisian tersebut dibangunkan mengikut spesifikasi dalam tempoh yang ditetapkan, mereka berjanji akan mendedikasikan dua orang senior software engineer untuk membangunkan perisian tersebut.
Kini (akhir 2023) purata gaji seorang senior software engineer adalah sekitar RM7,000+ sebulan.
RM7,000 x 2 orang = RM14,000 sebulan
RM14,000 x 6 bulan = RM84,000
Kos gaji software engineer sahaja berjumlah RM84,000. Agensi tersebut mungkin akan markup jumlah tersebut sebagai keuntungan dan kos-kos lain menjadi RM100,000.


Ini adalah anggaran kiraan kos sahaja. Agensi berkenaan mungkin menawarkan harga yang lebih rendah dengan:
- Menggantikan senior software engineer dengan junior software engineer, pelajar praktikal malah pelajar universiti atau
- Senior engineer yang ditugaskan tidak didedikasikan untuk projek kita sahaja, mereka juga dipertanggungjawabkan ke atas projek lain. Ini boleh mempengaruhi tempoh projek dan kualiti perisian yang terhasil.
Projek pun berjalan. Kalau tiada aral melintang dan projek tersebut tidak termasuk dalam statistik 70% projek perisian yang gagal, projek berkenaan siap dalam masa enam bulan dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Perisian dah siap! Kita dah ada perisian sendiri. Tak perlu lagi bayar langganan bulanan 🎉
Cuma ada beberapa kos lain yang belum diambil kira:
- Kos penyelenggaraan – Hampir semua perisian yang dibangunkan akan ada ralat (atau bug) dan perlu penyelenggaraan dan support untuk tempoh tertentu. Kos ini kadang-kadang disertakan atau diasingkan daripada sebut harga awal.
- Hosting – Kita perlu melanggan server untuk meletakkan perisian tersebut. Kos ini tidak terlalu tinggi, cuma perlu ada kepakaran teknikal untuk menyelenggaranya jika ia down atau menghadapi apa-apa masalah.
- Penambahbaikan – Dari semasa ke semasa akan ada teknologi baharu, security update atau penambahbaikan kepada proses kerja kita. Tetapi kalau tempoh maintenance telah tamat, akan ada kos tambahan untuk membangunkan penambahbaikan tersebut.
- Kos perkhidmatan lain seperti SMS & emel juga perlu diambil kira. Kos ini bergantung kepada bilangan pelajar aktif.
Jom kita kira pulangan pelaburan pula. Pelaburan pembangunan perisian kita sebanyak RM100,000 boleh membayar untuk penggunaan Mudeer selama 4 tahun, 2 bulan.
RM100,000 / RM2,000 = 50 bulan
= 4 tahun, 2 bulan

Selepas 4 tahun, 2 bulan kita mendapat pulangan kepada pelaburan tersebut. Cuma, sepanjang tempoh itu tiada sebarang penambahbaikan, atau security update.
Jika ada teknologi baharu atau perubahan pada proses kerja, kita perlu engage semula dengan agensi yang membangunkan perisian tersebut. Mungkin juga software engineer yang terlibat dengan projek tersebut tidak lagi bekerja di situ. Ini akan melambatkan lagi proses pengubahsuaian dan penambahbaikan kerana orang yang menggantikannya perlu mengkaji dan memahami perisian tersebut terlebih dahulu.
💡 Ini kerap berlaku. Banyak agensi pembangunan perisian membebankan software engineer mereka dengan terlalu banyak projek demi menawarkan harga yang murah kepada pelanggan sehingga mereka mengalami burnout dan berhenti.
Pengiraan Masa
Dari segi masa pula, implementasi perisian sedia ada (off-the-shelf) hampir segera. Kita boleh mula menggunakannya sebaik mendaftar.
Manakala tempoh pembangunan dan pengujian perisian baharu boleh mengambil masa bertahun-tahun sebelum boleh digunakan (bergantung kepada saiz dan kerumitan).
Kesimpulan
Menggunakan perisian sedia ada yang memenuhi kebanyakan keperluan kita jauh lebih kos efektif daripada membinanya sendiri secara outsource.
Semoga bermanfaat.