بسم الله الرحن الرحيم
Assalamu’alaikum.
Bayangkan anda baru sahaja pasang niat untuk belajar Al-Quran. Alhamdulillah.
Anda memang tiada asas. Tak kenal huruf pun. Tapi anda dah biasa dengar bacaan Al-Quran.
Anda jumpa posting tentang kelas mengaji online. Kelas tersebut menawarkan beberapa pakej. Pakej manakah yang akan anda pilih?
Pakej A:
- 4 kali seminggu
- 45 minit setiap sesi
- RM80
Pakej B:
- 4 kali seminggu
- 1 jam setiap sesi
- RM100
Pakej C:
- 8 jam semiggu
- 1 jam setiap sesi
- RM190
“Patut ambil Pakej A ke? Tapi 45 minit je satu sesi. Atau alang-alang ambil je Pakej B, sejam je terus setiap sesi?”
“Kalau dah ambil Pakej B, nak downgrade segan pula. Tak apa la, ambil je la dulu Pakej A.”
Selepas sebulan, anda dah lupa pakej mana yang anda ambil dan anda teruskan sahaja dengan pakej tersebut.
Sebagai pengusaha pusat pengajian, anda telah terlepas peluang untuk menaik taraf pelajar tersebut kepada pakej yang lebih tinggi.
Ciri-ciri Pakej yang Baik
Pakej yang anda tawarkan perlu:
- Membantu pelajar anda membuat pilihan.
- Mudah untuk dibezakan antara satu pakej dengan pakej lain.
- Memudahkan pelajar menaik taraf ke pakej seterusnya.
Apa kata kita tetapkan pakej mengikut tahap penguasaan pelajar, contohnya:
Pakej Pemula:
- Belajar kenali huruf
- Belajar sebutan huruf
- Kenali baris-baris dalam Al-Quran
- Mula dengan membaca Iqra’
- RM80 sebulan
Pakej Pertengahan:
- Belajar menyebut huruf dengan makhraj yang betul
- Belajar membaca surah-surah pendek lazim
- Belajar hukum-hukum tajwid
- RM100 sebulan
Pakej Lanjutan:
- Belajar membaca dengan tajwid yang betul
- Belajar mengenal pasti hukum tajwid dalam Al-Quran
- Membaca surah-surah lain dalam Al-Quran
- RM200 sebulan
Di sini kita memudahkan pelajar baharu memilih pakej yang sesuai. Mereka dapat menilai sendiri tahap mereka.
Pelajar lama pula mudah untuk naik ke pakej seterusnya. Mereka akan faham nilai tambah yang mereka terima apabila mereka upgrade ke pakej seterusnya.
Pakej-pakej yang saya senaraikan ini hanyalah contoh. Anda lebih memahami keperluan customer anda.
Yang penting, adalah anda sentiasa berusaha untuk memahami kehendak dan keperluan customer anda. Usaha ini perlu berterusan kerana keperluan pasaran boleh berubah-ubah dari semasa ke semasa.
Cuba letakkan diri anda di tempat mereka. Tetapkan harga berdasarkan apa yang mereka perlukan, bukan apa yang anda rasa mereka perlukan.
Saya faham, perkara ini bukan mudah. Saya pun struggle setiap hari untuk cuba memahami keperluan anda semua, kemudian untuk menentukan bagaimana saya boleh membantu anda terus maju.
Semoga post ini dapat membantu anda memikirkan cara terbaik untuk menentukan harga produk-produk anda.
Terima kasih 😊